Aku tak pandai nak menulis,mengarang ayat yang menarik lagi lah ke laut. Idea tu ada, tapi payah nak diungkapkan ke bahasa yang cantik.
Tengah rajin bersurfing, tiba2 terjumpa blog ni http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/.
Banyak perkara menarik yang dibincangkan. Salah satunya yang aku nak kongsikan tajuk dibawah ni, kalau nak baca yang lain silalah ke blognya.
Tanggung jawab lelaki,mana lebih utama?
Minggu lepas, saya dah bincangkan mengenai keutamaan ketaatan seorang wanita bergelar isteri. Minggu ini, saya ingin bincangkan pula mengenai keutamaan tanggungjawab seorang lelaki yang memegang status seorang anak dan pada masa yang juga adalah seorang suami dan seorang bapa kepada seseorang. Sebenarnya, saya telah pun bincangkan mengenai perkara ini di dalam siri keluaran tanggal 19 Mei tahun lepas bertajuk Hak Ibu Bapa Tanggungjawab Anak-anak. Namun, saya utarakan semula topik ini memandangkan terdapat beberapa permintaan daripada pembaca yang mungkin terlepas perbincangan saya yang lalu. Sementelah pula, kes-kes yang melibatkan kekeliruan seorang lelaki melaksanakan tanggungjawab antara ibu bapa dan isteri serta anak-anak sendiri makin banyak berlaku, malah makin kerap pula saya menerima aduan kes-kes ini sejak kebelakangan ini.
Seperti yang saya jelaskan pada minggu lepas, syurga seorang anak lelaki terletak di bawah tapak kaki ibu, bermula daripada kelahirannya hinggalah tika menghembuskan nafas yang terakhir. Dalam erti kata yang mudah, ibu adalah segala-galanya. Seorang anak lelaki perlu mengutamakan kehendak dan kemahuan seorang ibu berbanding kehendak seorang isteri dan anak-anak. Sebagai contoh, jika seorang ibu menginginkan anak lelakinya pulang ke kampung berhari raya bersama-sama dan pada masa yang sama, isteri kepada anak lelakinya juga menginginkan perkara yang sama, ingin berhari raya bersama ibu dan bapanya di kampung, lelaki yang berada di dalam situasi seperti ini perlu mengutamakan kehendak si ibu. Kenapa? Kerana permintaan si ibu tidak menyalahi kehendak syarak dan syariat. Namun, jika seorang ibu menyatakan kehendak yang boleh menyalahi kehendak syariat maka si anak tidak wajib melaksanakannya.
Persoalannya, apakah kehendak si ibu yang menyalahi kehendak syariat? Rata-rata kes yang saya terima adalah berkaitan kegagalan suami menjalankan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga seorang ayah kerana mengikut kehendak ibu, bapa dan adik-beradik sendiri. Malahan ada beberapa kes, isteri terpaksa mengeluarkan duit hasil pendapatannya sendiri semata-mata terpaksa membantu suami melunaskan kehendak dan keinginan keluarga mertua. Secara logiknya, kes-kes seperti ini tidak wajar berlaku jika setiap anak lelaki dan setiap ibu bapa serta sanak saudara lainnya mengetahui had dan batasan kewajipan dan hak-hak mereka.
Mungkin ada di kalangan pembaca yang kurang pasti, apakah perbezaan antara kewajipan dan hak? Kewajipan adalah tanggungjawab yang merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi hak seseorang. Sementara hak pula adalah perkara yang hanya boleh diperolehi apabila seseorang menjalankan kewajipannya. Sebagai contoh, hak seorang isteri adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang anak. Namun, bukan semua hak ibu adalah kewajipan anak-anak. Tambahan pula bagi anak lelaki yang sudah berumahtangga. Kewajipan seorang anak lelaki adalah untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu barulah berkewajipan menunaikan hak seorang ibu. Kenapa? Kerana hak seorang ibu itu sewajarnya dipenuhi oleh suami si ibu iaitu bapa si anak. Jika suami si ibu tiada lagi atau tidak mampu, maka anak-anak lain yang tidak mempunyai kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya sendiri berkewajipan menunaikan hak ibu mereka.
Bererti, walaupun seseorang itu adalah anak lelaki sulung atau tunggal dan telah berumahtangga serta mempunyai anak-anak sendiri, lelaki ini MEMPUNYAI KEUTAMAAN UNTUK MENUNAIKAN HAK-HAK ISTERINYA DAN ANAK-ANAKNYA TERLEBIH DAHULU berbanding hak ibu bapanya atau adik beradiknya yang lain. Perlu diingat juga, hak yang dimaksudkan adalah apa-apa perkara yang merupakan KEPERLUAN sahaja, bukan kemewahan atau kehendak yang melampau. Seorang suami berkewajipan menunaikan hak-hak yang patut dan wajar bagi seorang isteri dan anak-anak: menyediakan makan minum yang berpatutan dan sederhana; menyediakan tempat tinggal yang sempurna memadai dapat berlindung daripada panas matahari dan kebasahan hujan; menyediakan pakaian yang mampu menutup aurat; memberikan pendidikan yang dituntut oleh syariat merangkumi ilmu-ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah serta menyediakan kemudahan untuk isteri dan anak-anak mendapatkan rawatan jika mempunyai masalah kesihatan. Keperluan bukanlah perlu menyediakan hidangan KFC atau pizza setiap hari; bukan juga perlu menyalutkan tubuh si isteri dengan pelbagai perhiasan emas dan permata yang begemerlapan. Bermaksud, walaupun seorang lelaki itu mempunyai harta yang tidak menafikan keupayaannya untuk memberikan kemewahan kepada isteri dan anak-anak dan di dalam masa yang sama dia mempunyai ibu, bapa dan adik-adik yang juga memerlukan bantuannya untuk menjalani hidup yang sederhana tetapi lebih sempurna maka di dalam situasi ini, lelaki tersebut wajar dan wajib membantu ibu, bapa dan adik-beradiknya yang memerlukan walaupun perlu mengenepikan tuntutan isteri kerana tuntutan sedemikian bukan lagi menjadi hak yang perlu tetapi adalah sesuatu yang melampau.
Hakikatnya, setiap individu mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Hak seseorang juga adalah terbatas tertakluk kepada kepentingan dan keutamaan kewajipan seseorang. Lantas, jalan terbaik ialah bersikap bersedia menerima kesederhanaan, sanggup berkongsi dan bertoleransi. Kepada para isteri, ingatlah: suami anda adalah anak kepada seorang wanita, juga seperti anda yang akan menjadi mertua kepada seorang wanita lain bila tiba masanya nanti. Kepada para ibu, ingatlah: anak lelaki anda adalah suami kepada seorang wanita yang juga mempunyai hak sebagai seorang isteri sama seperti anda. Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insyaAllah.
Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, setiap anak lelaki dan anak perempuan mempunyai tanggungjawab kepada ibu bapa masing-masing. Seorang lelaki yang berkahwin juga berhak menunaikan tanggungjawab kepada ibu bapanya selagi hak isteri dan anak-anak tidak terabai. Sekali lagi saya tegaskan, hak anda sebagai isteri dan anak-anak adalah perkara yang menjadi keperluan semata-mata, bukannya satu kemewahan. Satu perkara yang perlu diingat juga, antara tanggungjawab seorang isteri kepada suami ialah menggembirakan hati suami dan tidak membebankan suami dengan perkara sia-sia. Menggembirakan suami termasuklah membenarkan suami membahagiakan hati ibu bapanya, bukannya menggunakan suami untuk menyusahkan ibu bapa suami anda hingga suami anda mengecilkan hati ibu bapanya.
Pernah dengar kisah seorang sahabat Rasulullah s.a.w bernama Alqamah? Alqamah tidak dapat mengucapkan lafaz syahadah di saat kematiannya. Bukan sekadar tidak mampu mengucap syahadah tetapi tersiksa ketika mendepani saat terakhir kehidupannya. Hinggalah Rasulullah s.a.w meminta ibu Alqamah mengampunkan dosanya barulah Alqamah dapat melafazkan syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebenarnya, kesalahan Alqamah bukanlah besar malah tanpa disengajakan. Alqamah hanya tidak menjamah makanan yang dibawa oleh ibunya ketika bertandang ke rumah Alqamah. Si ibu berasa kecil hati kerana merasakan Alqamah tidak sudi menjamah masakannya lagi setelah mempunyai isteri. Hanya kerana kesalahan sekecil itu, Alqamah mendapat penyiksaan yang besar.
Bayangkan jika kesalahan yang lebih besar anda lakukan kepada ibu dan juga bapa anda?Sebagai seorang isteri, anda berperanan untuk menjadikan suami anda seorang anak yang soleh dan diredhai oleh ibu bapa suami anda kerana dengan redha merekalah, Allah akan meredhai kehidupan suami anda malahan kehidupan anda juga. Walaupun suami anda tidak mempunyai tanggungjawab sepenuhnya kepada ibu bapanya, apalah salahnya jika anda benarkan SEBAIKNYA ANDA SEBAGAI ISTERI, MENDORONG AGAR SUAMI ANDA melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. Walaupun suami anda perlu mengutamakan keperluan anda dan anak-anak, apalah salahnya jika anda berkongsi hasil pendapatan tersebut dengan ibu bapa mertua anda sekiranya mereka memang tidak berkemampuan. Rezeki yang sedikit, jika dikongsi denga setulus hati akan berkat dan tidak akan habis, insyaAllah. Perlu diketahui, membantu ibu bapa dengan seikhlas hati walaupun dengan sedikit cuma, Allah akan memberkati rezeki anda. Kalau ibu bapa mertua nyata dah mampu untuk keperluan dan perlukan hasil pendapatan suami anda untuk kemewahan, memanglah tidak perlu disokong.
Kalau rasa dah lama tak telefon, telefonlah tanya khabar
Kalau rasa dah lama tak balik, baliklah jenguk dia
Tapi janganlah jenguk sekadar melepas batuk ditangga,kerana terpaksa
Sementara dia masih ada ni, jagalah hatinya, gembirakanlah dia
Di depan kita memanglah dia akan tunjukkan gembira je, tapi cubalah lihat kematanya
Janganlah biarkan sampai dia rasa rendah hati,berasa hati,tak berkat hidup
Kerana dia,kita boleh bernafas sehingga ke hari ini
Kenapa aku tulis macam ni?
Kerana aku selalu melihat mata tuanya itu menangis..
2 comments:
tapi banyak nya nanee dengar kisah orang, campurtangan mertua yang berlebihan buatkan masalah rumahtangga makin parah sehingga ada yang sampai anak sendiri bercerai.
Lagipun dulu ada masuk metro ke the star ntah, "antara punca utama penceraian di Malaysia; 'campurtangan mertua' lebih besar peratusan berbanding 'suami/isteri main betina/main lelaki'".
Lebih2 lagi melibatkan wang si anak. Bila si bini beli gelang baru, mulot mesti mengomel, "Ini mesti kikis duit anak haku". Walaupun duit beli gelang tuh sebenarnya guna gaji si bini sendiri. Kes mertua dengki dengan menantu sendiri mmg byk terjadi
Naseb le bekas mak mertua I ok nasihat2 si anaknya supaya x lupa beri nafkah untuk QZ tiap bulan. Ngeh3. Bab duit no 1!
$_$
waa..miss Q plk :)
rezeki masing2, kalau dapat yang ok bertuahlah, kalau tak terpaksa la bersabo, dugaan macam2..
mine..alhamdulillah..
Post a Comment